Sapura jinakkan Maybank

www.kosmo.com.my

SAPURA menghidupkan peluang dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB apabila menewaskan Maybank 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Pemain import Sapura dari Pakistan, Muhammad Imran tampil cemerlang untuk menjaringkan gol pertama Sapura pada minit kelapan berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Mohd. Marhan Mohd. Jalil terus mengukuhkan kedudukan Sapura dengan jaringan dua gol padang pada minit ke-30 dan ke-32 perlawanan untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Namun, Maybank yang bermula agak perlahan berjaya memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti oleh Hairul Nizam Abd. Rani pada minit ke-35.

Pada separuh masa kedua, Muhammad Imran menjaringkan gol keempat Sapura pada minit ke-41 manakala Hafifihafiz Hanafi menjaringkan gol kedua Maybank pada minit ke-48 perlawanan dan kedudukan 4-2 yang memihak kepada Sapura kekal sehingga tamat perlawanan.

Jurulatih Sapura, V.K Balakrisnan berkata, walaupun mencapai kemenangan dan berjaya meraih tiga mata berharga tetapi masih banyak kelemahan dalam pasukannya yang perlu diperbaiki segera.

"Kami perlu manfaatkan setiap peluang yang terhidang dan tidak boleh melakukan kesilapan mudah," katanya selepas perlawanan semalam.

Menurutnya, selepas ini me reka akan menumpukan untuk perlawanan menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) esok dan akan memastikan kemenangan menjadi milik mereka.

Sementara itu, jurulatih Maybank, Wallace Tan berkata, pemainnya bermula agak perlahan dan banyak melepaskan peluang keemasan menjaringkan gol.

"Jika kami dapat menjaringkan kesemua peluang yang terhidang pasti keputusan itu berubah dan kami bermain agak baik hari ini (semalam) cuma kegagalan menjaringkan gol sahaja menjadikan perlawanan bukan milik kami," katanya.

Sementara itu, perlawanan antara TNB dengan UniKL pula berkesudahan TNB menang tipis 3-2 yang menyaksikan penyerang kebangsaan, Faizal Saari meledak hatrik.

Gol UniKL pula dijaringkan oleh S. Selvaraju dan Mohd. Noor Faeez Ibrahim.

KLHC yang menewaskan Nur Insafi 5-0 di Ipoh semalam kini menerajui kedudukan liga dengan sembilan mata, diikuti TNB di tempat kedua dengan tujuh mata.

Tempat ketiga menjadi milik Sapura dengan enam mata, manakala Nurinsafi Perak keempat dengan tiga mata.