www.kosmo.com.my


PEMAIN TNB, Mohd. Izad Hakimi (kanan) dihalang pemain Terengganu HT pada aksi liga TNBMHL di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.


 

PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa berpuas hati apabila sekadar membawa pulang satu mata selepas terikat seri 4-4 dengan pasukan yang membuat penampilan pertama dalam liga, Terengganu Hockey Team (Terengganu HT) pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Malaysia TNB (TNBMHL) 2013 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Perlawanan tersebut bermula rancak dengan TNB melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol Terengganu HT, dan hasilnya pada minit ke-13, Faizal Saari berjaya menjaringkan gol pertama TNB.

Memasuki minit ke-24, TNB mendapat pukulan sudut penalti dan Faizal sekali lagi menjadi watak pemusnah dengan menjaringkan gol kedua pasukannya dan mereka selesa mendahului Terengganu HT 2-0.

Tersentak dengan dua gol oleh TNB, Terengganu HT menggandakan usaha mereka dengan kembali melancar serangan ke kubu TNB, dan hasilnya pada minit ke-31, gerakan solo Mohd. Sufi Ismat berjaya membolosi pintu gol TNB yang dikawal penjaga gol kebangsaan, S. Kumar.

Memasuki babak kedua, Terengganu HT seperti mendapat tonik baharu apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil bijak membaca hantaran rakan untuk jaringan penyamaan 2-2 buat pasukan baharunya itu.

Seminit kemudian, Fitri Saari mengejutkan TNB apabila dia berjaya menjaringkan gol ketiga pasukan hasil serangan balas pantas yang dilakukan Terengganu HT namun empat minit selepas itu, abang Fitri, Faizal kembali menyamakan kedudukan buat TNB hasil pukulan sudut penalti untuk kedudukan 3-3.

Terengganu HT seperti sudah terbayang akan pulang dengan tiga mata apabila Sobirin Alias berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-67, bagaimanapun kelekaan pada saat-saat akhir meleburkan impian Terengganu HT untuk pulang dengan mata penuh apabila Muhammad Ramadhan Rosli berjaya menjaringkan gol penyamaan seminit sebelum wisel penamat dibunyikan menjadikan keputusan penuh 4-4.

Jurulatih Terengganu HT, Nik Rozemi Nik Mohamed berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan aksi yang dipersembahkan oleh pemain-pemainnya yang pertama kali digabungkan untuk menyertai kempen liga musim ini.

“Bagaimanapun, kami bermula kurang baik pada perlawanan ini apabila ketinggalan dua gol, kemudian berjaya bangkit dan hampir untuk mendapat tiga mata, tetapi kelekaan pada saat-saat akhir telah memusnahkan segalanya.

“Saya rasakan, ini satu keputusan yang baik buat kami, dan kami akan memperbaiki segala kelemahan yang dikesan pada hari ini (semalam) agar tidak berulang pada perlawanan berikutnya,” kata Nik Rozemi kepada Kosmo! semalam.

Jurulatih TNB, Nor Azlan Bakar pula berkata, dia berpuas hati dengan aksi semua pemainnya dan berharap mereka akan mengekalkan momentum cemerlang itu bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Perjalanan liga masih jauh, kami bermula dengan agak baik, dan saya berharap semua pemain akan bangkit lebih garang selepas ini,” jelas Nor Azlan.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) membelasah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 5-0 manakala Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) tewas 0-6 kepada TNB Thunderbolts, Sapura dan Nur Insafi Warriors pula terikat seri 1-1.



 

 

Copyright Dhaliwal Event Management Sdn Bhd © 2013. All Rights Reserved.